SEJARAH
KAMPUNG
Pada awal tahun 1990 kawasan tapak kampung
yang ada sekarang adalah masih kawasan hutan rimba, pada masa yang sama ataupun
awal tahun 1991 pihak kerajaan dibawah bidang kuasa pihak Lembaga Kemajuan
Bintulu(BDA) bersama Jabatan Tanah dan Ukur telah pun berusaha mengukur dan
membahagi kawasan tanah tersebut kepada lot-lot untuk ditawarkan kepada
penduduk daripada Lima buah kampung yang terlibat.
Setelah siap dibahagi kepada lot-lot oleh
pihak kerajaan untuk skim penempatan semula maka pihak kerajaan telah
menawarkan lot tanah tersebut kepada kampung-kampung yang terlibat dengan
mengisi borang permohonan kampung-kampung yang terlibat terdiri daripada
Sinong, Masjid, Datuk, Sebiew dan Jabai.
Setelah borang permohonan diedar, maka
pihak kerajaan bersama ketua-ketua masyarakat berbincang untuk menamakan
kampung yang baru diusaha untuk menentukan nama kampung memandangkan kedudukan
Masjid Assyakirin yang dekat iaitu lebih kurang 500meter, kedua-dua pihak telah
bersetuju untuk menamakan kampung tersebut sebagai Kampung Assyakirin.
Apabila borang permohonan lot untuk
kampung telah dikembalikan kepada pihak BDA untuk diteliti dan ditapis, maka
sesiapa yang layak atau Berjaya mendapat tawaran untuk mendapat lot tersebut
akan dipanggil untuk mencabut undi nombor lot masing-masing bagi menentukan
tempat.
Semua pemohon yang Berjaya akan mendapat
lot untuk rumah dipanggil bagi cabutan undi nombor lot khas Kampung Assyakirin
Fasa 2 pada 1 April 1993 oleh pihak Lembaga Kemajuan Bintulu (BDA). Sebidang
Lot tersebut lebih kurang dalam lingkungan 10-11 points besar dengan harga
setiap satu lot RM6000 dan perlu dibayar dalam masa 10tahun dengan bayaran
hanya RM54 sebulan. Selain harga lot, kita juga dikenakan bayaran tol sementara
sebanyak RM60 setahun selagi harga sebenar lot tersebut belum selesai untuk
proses sebenar lot sesiapa yang telah berjaya akan dikenakan bayaran RM500
untuk peguam, setiap yang berjaya diberi tempoh setahun tuntuk mendirikan
rumah. Jika sesiapa gagal mengikut peraturan yang ditetapkan, tanah lot akan
ditarik balik.
Kampung Assyakirin kawasannya agak
luas/besar yang meliputi tiga fasa dimana Fasa 1 telah dibuka pada tahun 1991,
Lot tanah yang terbanyak 160 lot manakala Fasa 2 dibuka pada tahun 1993 dengan
lot sebanyak 127 dan Fasa 3 dibuka pada tahun 1994 yang mempunyai Lot sebanyak
137 lot.
Kampung Assyakirin yang begitu luas dengan
penduduk yang padat tanpa pemimpin untuk mentadbir pada ketika itu maka semua
penduduk kampung bermesyuarat untuk menubuhkan Jawatankuasa Pentadbir yang
dinamakan Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) yang dipimpin
oleh Allahyarham Tuan Hj. Othman Bin Matussin dan dibantu oleh beberapa orang
lain. Jawatankuasa tersebut ditubuhkan pada tahun 1994 hingga tahun 2002. Satu
lagi pertubuhan diwujudkan iaitu Rukun Tetangga dibawah seliaan Jabatan
Perpaduan Negara dikampung Assyakirin yang dipimpin oleh En. Abu Bakar B. Hj.
Abd Razak dari tahun 1996 ditubuhkan hingga tahun 2013.
Memandangkan Kampung Assyakirin terlalu
luas dengan penduduk agak padat dalam 3600 lebih orang maka pihak kerajaan
mengambil keputusan membahagi tiga fasa pada tahun 2003 dengan menamakan
Kampung Assyakirin Fasa 1 bagi fasa 1, Kampung Assyakirin Fasa 2 untuk fasa 2
dan Kampung Assyakirin Fasa 3 untuk fasa ke-3. Oleh hal demikian, pihak
Kerajaan telah melantik seorang ketua kaum bagi setiap satu fasa untuk
mentadbir dan memimpin penduduk setempat.
Setelah dibahagikan pada tahun 2003, maka
bermulalah kampung ini bergerak sendiri untuk mengejar kemajuan yang mempunyai
127 lot rumah dengan penduduk lebih kurang 827 orang dengan kemudahan yang
disediakan oleh kerajaan seperti jalan kampung, elektrik, air dan perparitan
kecuali telefon awam, balai raya, surau serta kemudahan rekreasi yang tidak ada
ketika itu.
Kampung Assyakirin Fasa 2 terletak
dikawasan bandar, jarak dari pusat bandar lebih kurang 3km, berhampiran
dengan Masjid Assyakirin dan Tanah Perkuburan Kristian. Pada tahun 2005,
penduduk Kampung Assyakirin Fasa 2 telah berusaha mendirikan sebuah Dewan
Serbaguna secara bergotong-royong dengan peruntukan yang diberi oleh kerajaan
melalui wakil rakyat YB Dato Seri Tiong King Sing dan YB Datuk Hj. Talib Bin
Zulpilip, selebihnya disumbang oleh Syarikat-Syarikat seperti CMS, BBC, Zeti
JKR dan penduduk kampung sendiri dengan anggaran kos lebih kurang RM115000 dan
pada tahun 2011 sekali lagi pihak JKKK fasa 2 berusaha bagi mendapat peruntukan
kerajaan untuk mendirikan sebuah lagi bangunan untuk menempatkan pendidikan
awal kanak-kanak iaitu kelas tabika dengan kos lebih kurang RM67000 melalui YB
Dato Seri Tiong King Sing, Ahli Parlimen P.217 Bintulu.
Pada tahun 2007 hingga 2009, pihak JKKK
fasa 2 telah berjaya menangani beberapa kes cubaan mencuri dan pecah rumah di
kampung ini dan berjaya menangkap pencuri dan perkara tersebut telah dirujuk
kepada pihak polis.
Pada tahun 2010, Rukun Tetangga dan Skim
Rondaan Sukarela (SRS) diwujudkan di
kampung ini di atas permintaan penduduk setempat kepada pihak Jabatan Perpaduan
Negara.
Dalam arus pembangunan dan kemajuan
ekonomi penduduk kampung Assyakirin Fasa 2 tidak ketinggalan juga dalam mengusahakan
perusahaan kecil sederhana dimana salah seorang telah pun berjaya dalam bidang
usahawan restoran makanan dan kini bergelar Dato dan ada juga penduduk kampung
sedang mengusahakan perusahaan kecil sederhana seperti membuat keropok ikan,
belacan, roti dan restoran makanan manakal pada tahun 2012, salah seorang
perusahaan kecil sederhana kampung kita telah pun berjaya dalam pertandingan
Anugerah Ilham Desa Peringkat Zon Sarawak dengan mendapat Naib Johan dan
membawa pulang Trofi, Sijil dan wang tunai sebanyak RM8000 diterima di
Bangi,Selangor pada 8November2012. Beliau adalah Puan Hjh Rukayah Bt. Hj Daud.
Pada tahun 2011, Kampung Assyakirin Fasa 2
ada turut serta dalam Pertandingan Gerakan Desa Cemerlang tetapi tidak berjaya
kerana diberitahu secara mengejut masuk pertandingan. Ianya adalah satu galakan
untuk berusaha lebih gigih lagi.
Dalam pendidikan ada beberapa anak orang
kampung lebih berjaya dalam bidang kedoktoran, kejuruteraan dan juga dalam
bidang agama yang telah menjadi ustaz selain mendapat sijil dan diploma.




